Ah, kenapa nama itu saja yang kerap berputar dalam kotak fikiranku sejak pagi tadi? Puas sudah aku cuba singkirkan tetapi ternyata sukar. Ada sesuatu yang menarik tentang gadis ini.
Prep petang yang selalunya seronok dan penuh dengan gelak tawa langsung tidak memberi apa-apa kesan buatku. Madi dan Amran tergelak besar apabila masing-masing mengenangkan peristiwa pagi tadi.
"Kenapa dengan kau ni, Farid. Aku tengok ko susah hati saja dari pagi tadi? Takkanlah malu lagi sebab kena bergelek depan kelas tadi?" serentak dengan kata-kata Madi, kawan-kawan kelasku turut ketawa.
Aku cuma mendiamkan diri sambil melemparkan senyuman kambing. Dan dalam diam itu juga, aku cuba mengintai Ladiana dari hujung mataku.
Ladiana diam seolah-olah tidak terpengaruh dengan ketawa sakan oleh kawan-kawan lain.
"Madi, jom kita balik sekarang. Aku bosanlah duduk di dalam kelas lama-lama", aku mengajak Madi pulang awal dari prep yang sepatutnya tamat pukul 4 petang.
......................
"Aku tengok kau ni amcam ayam berak kapur je. Kau ada masalahkah, Farid?" tanya Madi, cuba mencungkil punca kegusaranku.
"Aku OK saja. Kau tak perlulah risau", jawabku.
"Eh, jom kita turun main bola keranjang. Petang ni ada pelajar perempuan berlatih. Sambil tu, boleh kita cuci mata", ajak Madi cuba memujukku.
Kasihan pula aku melihat Madi. Dia bersungguh-sungguh mahu menceriakan aku.
"OK. Jom", aku bersetuju memandangkan "cuci mata" memang menjadi aktiviti harian kami lebih-lebih lagi jika ada pelajar perempuan berlatih bola keranjang.
......................
Hatiku berdebar-debar. Untuk siapa pandangan itu? Untuk akukah? Tapi mata coklat lelaki itu benar-benar buat aku tertarik. Malangnya mata yang secantik itu tidak digunakan untuk melihat pelajaran.
Geram benar aku apabila tahu ada yang tidak mengendahkan pembentanganku tadi. Selama seminggu ini aku dan ahli kumpulan yang lain sudah bertungkus-lumus menyediakan bahan untuk pembentangan kami tapi ada pula yang tidak menghargainya.
Ahmad Farid. Aku tahu nama lelaki itu dari Halijah.
"Ahmad Farid. Aku tahu nama lelaki itu dari Halijah"
Tapi yang menjadi pelik, bukan dia seorang saja yang tidak mendengar pembentangan kami. Amran juga leka. Tapi mengapa nama Farid yang singgah difikiranku? Saat dia melewati tempat dudukku sewaktu didenda menyanyi lagu Hindustan dengan Amran, aku cuma mampu tunduk. Malu atau geram, aku pun tak pasti.
"Ana, kau dah siap pakai tudung? Marilah kita turun main bola keranjang. Lina dan Tikah pun ada bersama petang ni," jerit Halijah dari biliknya yang terletak berhadapan dengan bilikku.
"Kejap, kejap. Aku nak sarung kasut ni,"aku membalas.
Dan petang itu aku bertemunya lagi di gelanggang bola keranjang. Lelaki yang membuatku meluat dengan perangainya yang tidak menghargai pembentangan di depan kelas. Ahmad Farid Ahmad Zaki.